Saturday, June 11, 2005

Bas guna air kencing atasi pencemaran

LONDON: Seorang pengusaha bas Britain menjalankan ujian menggunakan air kencing biri-biri sebagai kaedah berkesan untuk mengelak pencemaran udara, lapor akhbar Guardian.

Syarikat bas Stagecoach South memasang sebuah tangki yang mengandungi air kencing biri-biri pada basnya dan air kencing berkenaan digunakan untuk menyemburkan ke bahagian ekzos supaya mengurangkan pengeluaran nitrus oksida bas berkenaan di Winchester, selatan England.

“Walaupun tindakan ini ialah cara baru dalam mengelakkan pencemaran udara, namun kami percaya cara ini mampu mendatangkan manfaat.

“Tiada apa yang perlu dirisaukan, pihak kami tidak akan membawa biri-biri di bahagian belakang bas, tetapi kami menggunakan bahan buangan ternakan yang telah ditapis menjadi baja.

“Baja yang mengandungi ammonia akan menukarkan nitrus oksida kepada gas nitrogen dan air,” kata pengarah urusan syarikat bas berkenaan, Andrew Dyer.

Bas yang dipasang tangki air kencing itu sudah pun beroperasi mengangkut penumpang di sekitar Winchester sejak bulan lalu.

“Saya diketawakan ketika bermesyuarat di Birmingham kerana mengatakan air kencing biri-biri boleh digunakan untuk ‘membersihkan’ gas kotor yang dikeluarkan oleh kenderaan, namun perkara ini sudah menjadi kenyataan,” katanya.

Kaedah ini adalah yang terbaru dalam usaha memelihara alam sekitar dan ia mampu membantu dalam mewujudkan suasana yang bersih dan sihat bagi masyarakat kita, katanya. – AFP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran
untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.
(All things belong to Allah, s.w.t.)
email : pemudawilayah@yahoo.com atau : wilayah2008@yahoo.com