Monday, June 20, 2005

8 maut askar Korea Selatan mengamuk kerana dibuli

SEOUL: Lapan askar Korea Selatan terbunuh manakala dua lagi cedera parah semalam apabila seorang askar mengamuk dengan melepaskan tembakan liar di kem dekat sempadan Korea Utara, menurut kementerian pertahanan.

Askar yang dikenali sebagai prebet kelas pertama Kim, 22, membaling bom tangan dan menembak dengan raifalnya ke arah berek tentera sewaktu rakannya sedang tidur di timur laut Yeoncheon awal semalam, kata kementerian.

Kim, yang disiasat selepas menyerah diri berkata dia mengamuk dan melepaskan tembakan kerana askar itu membulinya, menurut kementerian.

“Lapan askar terbunuh dan dua lagi cedera parah dalam insiden membabitkan bom tangan serta raifel di pos kawalan pada jam 2:30 pagi semalam,” kata kementerian dalam kenyataan mereka. Kira-kira 25 askar berusia 20-an sedang tidur dalam berek pada masa kejadian.

Selain bom tangan, Kim juga menggunakan 40 pusingan peluru, menyebabkan ketua platun Leftenan Kim Jong-Myung dan tujuh lagi askar terbunuh.

Dua askar lagi cedera di kaki dan segera dibawa melalui udara ke hospital berdekatan untuk dirawat. Mangsa cedera parah tetapi keadaan mereka tidak kritikal.

Menteri Pertahanan, Yoon Kwang-Woong, memohon maaf berhubung kejadian terbabit.

Presiden Roh Moo-Hyun pula mengarahkan beliau supaya menyiasat sepenuhnya kes itu bagi mencegahnya daripada berlaku lagi pada masa akan datang.

Pegawai kementerian tidak mengulas lanjut mengenai kejadian itu yang menurut mereka masih disiasat. Bagaimanapun, ia mungkin disebabkan oleh tekanan dalam kehidupan sebagai anggota tentera.

“Dia naik berang kerana dicerca oleh askar lain. Butiran lanjut sedang disiasat,” Brigadier Jeneral Jang Seok-Kyu, jurucakap tentera memberitahu sidang akhbar.

Kim didapati tidak mempunyai sejarah sakit mental, kata Jang.

Setiap lelaki warga Korea Selatan wajib menjalani latihan tentera selama dua tahun.

Tentera Korea Selatan diberitakan selalu melancarkan kempen bagi mengurangkan penganiayaan atau gangguan askar kanan terhadap tentera yang baru memulakan tugas.

Setiap serangan secara fizikal boleh dikenakan hukuman terhadap pesalah. – AFP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran
untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.
(All things belong to Allah, s.w.t.)
email : pemudawilayah@yahoo.com atau : wilayah2008@yahoo.com