Saturday, June 18, 2005

Israel bina benteng di laut

BAITULMAQDIS - Israel sedang membina benteng melalui laut dari sempadannya dengan Gaza untuk menghalang pencerobohan Palestin sebagai sebahagian daripada rancangan pengundurannya dari wilayah itu, menurut laporan sebuah akhbar.

Jerusalem Post melaporkan secara terperinci tanpa menyebut sumbernya bahawa benteng itu yang sebahagiannya konkrit dan sebahagian lagi dalam bentuk pagar terapung, akan dibina sepanjang 950 meter memasuki kawasan Mediterranean dari sempadan Israel dengan bahagian utara Genting Gaza.

Tujuan pembinaan benteng itu adalah untuk menghalang puak militan yang berpangkalan di Gaza daripada melancarkan serangan ke Israel melalui laut selepas kerajaan Israel melaksanakan rancangan pengundurannya dari kesemua 21 kawasan penempatan Yahudi di wilayah yang diduduki itu mulai pertengahan Ogos.

Tentera Israel enggan membuat sebarang ulasan mengenai laporan itu, yang menyebut pembinaan benteng tersebut sudah bermula.

Menurut laporan itu lagi, pembinaan untuk 150 meter yang pertama telah dimulakan dengan menanam cerucuk ke dalam dasar laut manakala baki 800 meter lagi dirancangkan dibina dalam bentuk `pagar terapung.'

Bagaimanapun, butir-butir terperinci mengenai pagar terapung itu tidak dinyatakan.

Israel sudah pun membina tembok melalui darat di Tebing Barat sepanjang 600 kilometer apabila pembinaannya siap sepenuhnya.

Tembok berkenaan dibina untuk menghalang pengebom-pengebom berani mati Palestin daripada menyusup masuk ke negara Yahudi itu.

Para penduduk Palestin menyifatkan pembinaan tembok itu sebagai satu tindakan untuk merampas tanah mereka.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah mengisytiharkan pembinaan tembok itu sebagai tidak sah. - Reuters

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran
untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.
(All things belong to Allah, s.w.t.)
email : pemudawilayah@yahoo.com atau : wilayah2008@yahoo.com