Saturday, June 18, 2005

Empat lelaki disoal siasat

Image hosted by Photobucket.com


SIEM REAP, Kemboja 17 Jun - Polis hari ini menyoal siasat empat lelaki yang menahan berpuluh-puluh kanak-kanak tadika sebagai tebusan di sebuah sekolah antarabangsa di sini dan menembak mati seorang kanak-kanak lelaki Kanada berusia dua tahun.

Polis juga turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan dalang kejadian itu walaupun beliau tidak terlibat secara langsung dalam serangan tersebut.

Beberapa kaunselor Eropah turut memberi khidmat nasihat dengan bantuan beberapa pekerja kesihatan Kemboja untuk membantu mangsa-mangsa berkenaan dan keluarga mereka mengatasi trauma yang dialami dalam krisis tebusan tersebut.

Keempat-empat lelaki bertopeng itu menyerbu ke sekolah antarabangsa itu di bandar Siem Reap di barat laut Kemboja pagi semalam dan menahan seorang guru dan kira-kira 30 kanak-kanak berusia di antara dua hingga enam tahun dalam sebuah bilik darjah.

Kanak-kanak daripada kira-kira 15 negara belajar sekolah itu. Berpuluh-puluh lagi sempat menyelamatkan diri dengan bersembunyi atau melarikan diri dari kawasan sekolah tersebut.

Kumpulan itu menuntut wang tebusan, senjata dan sebuah kenderaan.

Kumpulan berempat itu keluar dari bangunan sekolah selepas polis menyediakan sebuah van dan juga wang tunai sebanyak AS$30,000 (RM114,000) kepada mereka.

Apabila kumpulan berempat itu masuk ke dalam kenderaan tersebut bersama-sama empat kanak-kanak, pasukan keselamatan segera menutup pintu pagar sekolah dan menyerang van itu dengan memecahkan cermin tingkap dan mengheret mereka keluar.

Beberapa pasangan ibu bapa dilihat segera menerkam untuk mengambil anak mereka dan terus beredar dari situ manakala yang lainnya bertindak mengepung kumpulan berempat itu dan memukul serta menendang mereka sebelum polis sempat menghalang, kata Prak Chanthoeun.

Polis menggambarkan kumpulan berempat itu, yang berusia dalam lingkungan 20-an sebagai sebuah kumpulan gengster bandar yang datang dari sebuah daerah dekat Phnom Penh untuk bekerja di Siem Reap.

``Mereka mendapat tahu bahawa sekolah itu dihadiri oleh anak orang-orang kaya,'' kata Timbalan Panglima Polis Tentera Siem Reap, Prak Chanthoeun.

Ketua kumpulan itu yang berusia 23 tahun dikatakan bertindak membunuh kanak-kanak Kanada tersebut kerana dia tidak berhenti menangis. - AP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran
untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.
(All things belong to Allah, s.w.t.)
email : pemudawilayah@yahoo.com atau : wilayah2008@yahoo.com