Monday, June 12, 2006

Israel ancam bunuh Haniyeh

BAITULMAQDIS: Seorang anggota kanan parti pimpinan Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert, semalam mengancam membunuh Perdana Menteri Palestin, Ismail Hainyeh, jika Hamas melancarkan semula serangan bom berani mati.

Kenyataan Pengerusi Hal Ehwal Luar dan Jawatankuasa Pertahanan Parlimen, Tzachi Hanegbi, dibuat berikutan peningkatan mendadak keganasan di sepanjang sempadan Israel-Gaza dan pengisytiharan Hamas yang menamatkan gencatan senjata selama 16 bulan oleh Hamas.

“Yassin dan Rantissi menunggu awak, Haniyeh, jika awak melaksana pendirian sama memusnahkan Yahudi, melepaskan tembakan dan serangan berani mati yang bertujuan melumpuhkan masyarakat Israel,” katanya kepada Radio Tentera.

Hanegbi merujuk kepada pengasas bersama Hamas, Sheikh Ahmed Yassin, dan seorang lagi pemimpin kumpulan pejuang itu, Abdel-Aziz al-Rantissi, yang terkorban dalam serangan udara Israel di Gaza pada tahun 2004.

“Ancaman tidak akan boleh memaksa kami meninggalkan hak penduduk kami,” kata jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri, di Gaza sebagai reaksi kepada kenyataan keras Hanegbi.

Kumpulan pejuang itu melancarkan hampir 60 serangan berani mati di Israel sejak Intifada pada tahun 2000 tetapi menggantung serangan seumpama itu pada pertengahan tahun 2004 dan mematuhi perjanjian gencatan senjata yang dicapai pada awal 2005.

Hamas terkunci dalam pertelagahan dengan Presiden Mahmoud Abbas berhubung manifesto kenegaraan yang dikemukakan oleh banduan Palestin di penjara Israel yang secara tersirat mengiktiraf kewujudan Israel.

Hamas mengisytiharkan tamatnya gencatan senjata Jumaat lalu selepas tujuh penduduk Palestin termasuk tiga kanak-kanak dibunuh tentera Israel di pantai di Gaza.

Israel berkata, pembunuhan itu satu kesilapan dan menyuarakan kekesalan berhubung insiden itu walaupun tidak mengaku bertanggungjawab.

Sejak menamatkan gencatan senjata, Hamas melepaskan berpuluh-puluh bedilan roket ke Israel dari Gaza. Dalam keganasan Ahad, serangan helikopter Israel membunuh dua pejuang Hamas di Gaza dan bedilan roket yang dilepaskan anggota kumpulan pejuang itu mencederakan seorang penduduk Israel. —Reuters

Penulis hina Islam dibicara

ROME: Penulis Itali yang juga seorang wartawan veteran, Oriana Fallaci, dibicarakan semalam atas dakwaan menghina Islam melalui buku tulisannya pada 2004.

Fallaci yang menetap di New York, dijangka tidak menghadiri perbicaraan di Bergamo, utara Itali.

Aktivis Islam, Adel Smith, memfailkan saman terhadap Fallaci dengan mendakwa buku The Strength of Reason, menghina Islam.

Peguam Smith memetik daripada buku itu yang merujuk Islam sebagai ‘kolam yang tidak pernah bersih dari kekotoran.’

Tahun lalu, hakim mengarahkan Fallaci dibicarakan atas dakwaan melanggar undang-undang yang melarang ‘kecaman terhadap agama.’

Dia memetik ayat yang berbunyi: “Untuk berada dalam ilusi bahawa terhadap Islam yang baik dan Islam yang jahat atau tidak memahami Islam adalah satu-satunya adalah salah.”

Tahun lalu, Fallaci berkata: “Saya cuma meluahkan pendapat menerusi kata-kata yang tertulis di dalam buku saya, itu saja.’

Bekas wartawan perang, Fallaci kerap mencetuskan kontroversi kerana pendirian yang provokatif.

Dalam esei terlarisnya, The Rage and the Pride, yang ditulis sebagai reaksi kepada serangan 11 September, Fallaci menyifatkan umat Islam ‘bertambah berkali ganda seperti tikus’ dan berkata ‘anak Allah menghabiskan masa dengan menunjukkan punggung ke udara, bersolat lima kali sehari.’ — AP

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran
untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.
(All things belong to Allah, s.w.t.)
email : pemudawilayah@yahoo.com atau : wilayah2008@yahoo.com