Saturday, June 11, 2005

Polis Israel hina al-Quran - Mufti

BAITULMAQDIS 11 Jun - Mufti Baitulmaqdis, Sheikh Ekremah Sabri hari ini mendedahkan bahawa polis Israel telah menghina kitab suci al-Quran di dalam sebuah penjara.

Ketika mendedahkan perkara tersebut kepada para jemaah yang menghadiri sembahyang mingguan di Masjid Al-Aqsa, Ekremah berkata, sikap biadap Amerika Syarikat (AS) menghina al-Quran kini diamalkan pula oleh Israel.

Berita mengenai tindakan polis Israel menghina al-Quran telah mencetuskan kemarahan rakyat Palestin apabila ratusan daripada mereka menganjurkan tunjuk perasaan di sini.

``Kami mempunyai bukti kukuh untuk menyokong dakwaan bahawa anggota polis Israel bertindak mengoyakkan al-Quran di hadapan banduan-banduan penjara di penjara Meggido.

``Mereka melakukan tindakan itu semata-mata untuk membangkitkan kemarahan banduan-banduan terbabit,'' katanya.

Awal minggu ini, sekumpulan tahanan penjara Palestin di penjara Meggido, utara Israel mendakwa pihak polis mengoyakkan kitab suci al-Quran semasa menjalankan operasi menyerbu sel penjara.

Bagaimanapun, tuduhan tersebut dinafikan sekeras-kerasnya oleh Perkhidmatan Penjara Israel.

Kira-kira 900 banduan di penjara Meggido mengadakan mogok lapar selama tiga hari bermula Rabu lalu sebagai membantah tindakan polis Israel menghina al-Quran.

Puluhan polis Israel dikerahkan ke timur Baitulmaqdis dan kawasan di sekitar masjid Al-Aqsa berikutan terdapat kebimbangan keganasan akan meletus.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 100 rakyat Palestin bertindak membakar bendera AS dan Israel selepas menghadiri solat Jumaat, semalam.

Tindakan menghina oleh polis Israel turut mendorong wakil kumpulan Hamas untuk menyampaikan ucapan kepada penunjuk perasaan di kem penempatan El-Hilweh dekat bandar Sidon.

``Saya memanggil semua rakan-rakan kita dalam Briged Al-Kassam dan kumpulan lain supaya bersedia untuk menentang segala serangan oleh orang Yahudi dan anggota polis mereka ke atas al-Quran mahupun Masjid Al-Aqsa,'' tegas Abu Ahmed Al-Fadl dalam satu faks yang dihantar kepada AP di Beirut. - AP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran
untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.
(All things belong to Allah, s.w.t.)
email : pemudawilayah@yahoo.com atau : wilayah2008@yahoo.com