Saturday, June 18, 2005

Myanmar perlu nyatakan pendiriannya

SINGAPURA 17 Jun - Myanmar perlu menyatakan pendirian mengenai keputusan pengambilalihan jawatan Pengerusi ASEAN 2006 kepada negara-negara anggota pada Mesyuarat Peringkat Menteri ASEAN (AMM) di Vientiane, Laos Julai ini.

Setiausaha Agung ASEAN, Ong Keng Yong berkata, beberapa negara anggota ASEAN telah memberikan pendapat secara terbuka mengenai kemungkinan ASEAN diketuai oleh Myanmar.

``Tetapi, secara keseluruhannya, kita percaya proses ini melibatkan hanya sebuah negara sahaja.

``Sekiranya Myanmar tidak mahu menerima penggiliran Pengerusi ASEAN pada tahun depan, negara berkenaan perlu menyatakan keputusan mereka semasa mesyuarat AMM nanti,'' katanya dalam rakaman wawancara dengan stesen televisyen CNBC Asia.

Menurut Keng Yong, walaupun secara tradisional negara-negara anggota ASEAN mengamalkan prinsip tidak campur tangan, tetapi sesetengah perkara sensitif sering dibincangkan dalam peringkat dalaman.

Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) mengancam untuk memulaukan mesyuarat peringkat tertinggi dengan ASEAN jika Myanmar mengambil alih jawatan Pengerusi tahun depan tanpa mencapai kemajuan berhubung hak asasi manusia termasuk membebaskan pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi. - AFP

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran
untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.
(All things belong to Allah, s.w.t.)
email : pemudawilayah@yahoo.com atau : wilayah2008@yahoo.com