Saturday, June 18, 2005

Bekas Menteri Agama turut disiasat

JAKARTA 17 Jun - Seorang bekas menteri Agama Indonesia telah dinamakan sebagai suspek dalam kes menyalahgunakan wang untuk menguruskan jemaah menunaikan ibadat haji ke Mekah.

Pendakwa antirasuah tertinggi Indonesia, Hendarman Supandji memberitahu pemberita, suspek terbabit ialah Said Agil Munawar, seorang cendekiawan Islam yang pernah menjadi Menteri Agama dari tahun 1999 hingga 2004.

Said ialah suspek kedua yang dikaitkan dengan tindakan menyalahgunakan wang lebihan daripada ibadat haji yang dianggarkan berjumlah 680 bilion Rupiah (RM272 juta).

Penamaan Said yang terlibat dalam skandal rasuah itu timbul ketika kepimpinan negara, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono bertekad untuk menghapuskan masalah rasuah di negara tersebut.

Hendarman bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklumat lanjut mengenai kes terbabit dan memberitahu satu sidang akhbar akan diadakan lewat hari ini.

Ketika ini, Said tidak dapat dihubungi untuk memberi sebarang komen tetapi sebelum ini, beliau sudah menafikan yang dirinya terlibat dalam kes tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak polis memberitahu, hasil siasatan yang dijalankan mendapati dana tabung haji itu telah disalurkan kepada 22 akaun bank berasingan dan bukannya kepada satu akaun sahaja.

Menyedari hakikat itu, pihak polis telah membekukan semua akaun tersebut.

Setiap tahun, kerajaan Indonesia menghantar kira-kira 230,000 jemaah ke Arab Saudi untuk menunaikan ibadat haji dengan kebanyakan mereka dikenakan bayaran sebanyak AS$2,700 (RM10,260) setiap seorang.

Bagaimanapun, kebanyakan jemaah mengadu kualiti penginapan dan makanan yang disediakan tidak mencapai tahap yang ditetapkan. - Reuters

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

©1425/2004 pemudawilayah.blogspot.com®
Hakcipta terpelihara oleh Allah s.w.t. dan sebarang bentuk penyebaran
untuk tujuan dakwah adalah digalakkan dengan menyatakan sumbernya.
(All things belong to Allah, s.w.t.)
email : pemudawilayah@yahoo.com atau : wilayah2008@yahoo.com